1. Pelaburan Menguntungkan
Antara langkah awal yang perlu dilakukan untuk memastikan diri berjaya menyusukan sepenuhnya si kembar ialah anda perlu melabur! Pelaburan yang dimaksudkan ialah membeli pam payu dara yang berkualiti. Dengan memiliki pam yang bagus, anda dapat meningkatkan penghasilan susu. Anda pasti berpuas hati dengan hasilnya nanti.

Kebanyakan ibu yang memiliki anak kembar menyarankan penggunaan pam elektrik berganda. Ia mampu memerah susu di kedua-dua belah payu dara pada satu-satu masa. Pam yang bagus mungkin boleh mencecah ratusan ringgit. Jika tidak mampu, anda boleh menyewa peralatan ini di mana-mana hospital, klinik atau syarikat-syarikat laktasi yang menawarkan perkhidmatan seumpama ini.

2. Relaks…
Ambil masa untuk berehat. Ingat! Menyusukan si kembar merupakan keutamaan anda buat masa ini. Jadi, carilah masa yang sesuai dan tempat yang jauh daripada keriuhan agar dapat berehat tanpa gangguan.

Jika perlu matikan talian telefon. Biarkan orang lain membantu anda menguruskan rumah tangga seperti memasak, membersih rumah dan mencuci pakaian. Bagi yang ada anak kecil, “rasuah” mereka dengan menyediakan makanan kegemaran, memberi buku, alat permainan ataupun biarkan mereka menonton program televisyen kesukaan masing-masing.

Dalam pada itu, lupakan apa sahaja yang mungkin menimbulkan kebimbangan, tekanan, ketidakselesaan ataupun rasa gundah gulana. Kini, anda hanya perlu memberi tumpuan khusus untuk menyusukan si kembar. Beri perhatian kepada mereka. Rapatkan hubungan dengan membelai, menyentuh dan bermesra dengan mereka.

3. Tolong! Tolong!
Dalam keadaan sebegini, anda perlu menerima apa sahaja bentuk bantuan daripada orang sekeliling. Ini bukan masanya untuk menunjuk hebat bahawa anda boleh melakukannya sendirian tanpa bantuan orang lain. Aset paling berkuasa milik anda pada ketika ini ialah sokongan daripada suami, keluarga dan orang sekeliling yang rapat dengan anda.

Jangan lupa dapatkan sokongan daripada kawan-kawan yang sama-sama bergelar ibu terutamanya mereka yang menyusukan bayi secara eksklusif. Selain daripada itu, mereka yang pakar dalam bidang laktasi juga boleh membantu. Mintalah nasihat dan aplikasikan panduan yang diberi. Apa yang penting anda tidak malu untuk bertanya.

4. Usaha Dan Usaha Lagi…
Lakukan eksperimen untuk menentukan sama ada posisi yang anda pelajari benar-benar membantu ataupun sebaliknya. Ada segelintir ibu senang menyusukan kedua-dua si kembar pada masa yang sama. Ada juga yang lebih suka menyusukan salah seorang daripada mereka sahaja. Kedua-dua cara ini betul. Tiada siapa boleh mengiktiraf posisi pilihan anda itu betul ataupun tidak.
Apa yang penting, anda selesa dengan posisi penyusuan yang dipilih tidak kiralah sama ada menyusukan seorang ataupun kedua-duanya. Untuk memastikan anda selesa setiap kali menyusukan si kembar, teroka pelbagai posisi yang berbeza untuk mengetahui kesesuaiannya. Dengan aplikasi posisi penyusuan yang betul, anda akan tahu jawapannya.

5. Jagalah Diri
Penyusuan si kembar tidak akan berjaya tanpa adanya diri anda. Jadi, jangan biarkan kesihatan diri terabai. Pengabaian kesihatan diri akan memberi kesan buruk kepada bayi. Jaga diri anda demi anak-anak!

Minumlah air yang mencukupi untuk melancarkan penghasilan susu. Isikan perut anda dengan makanan berkhasiat: buah-buahan, sayur-sayuran dan protein. Walaupun anda menganggap ketika ini anda hanya menyusukan bayi tanpa melakukan kerja-kerja yang berat, ingatlah! tubuh sedang bekerja keras. Ini bukan masanya untuk mengikat perut. Makanlah sebanyak mana yang boleh asalkan ia mampu membekalkan khasiat kepada anda dan si kembar. Untuk pengetahuan anda, saya mengambil vitamin penyusuan Shaklee untuk menjadikan saya lebih bertenaga

Berehatlah selagi ada peluang. Apabila si kembar tidur, curi masa itu untuk tidur bersama mereka. Tidurlah sebentar (nap) dari semasa ke semasa walaupun hanya untuk beberapa minit. Percayalah, walaupun sekejap ia dapat membuatkan tubuh anda kembali segar.

6. Buka Minda
Katakan pada diri anda setiap hari, “Saya ibu terbaik untuk anak-anak ini dan saya sudah berikan segala yang terbaik untuk mereka”. Menyusukan si kembar sememangnya sesuatu yang mencabar. Anda sebenarnya telah membuat keputusan yang bijak apabila memilih untuk menyusukan mereka secara eksklusif. Walaupun rumah bagaikan tongkang pecah ataupun tiada masa lagi untuk memanjakan diri, anda seharusnya tahu anda telah memberikan yang terbaik kepada mereka – SUSU IBU!



Tadaaa!!! Begini lah caranya saya menyusukan si kembar saya